Dr Rozmey Bersalah Langgar Kod Etika Perubatan MMC. Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengantung keanggotaan pengeluar formula menurunkan berat badan Datuk Dr Che Rozmey Che Din selama dua tahun selepas mendapati beliau melanggar Kod Etika Profesional di bawah Akta Perubatan 1971.

Presiden MMC Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, berkata inkuiri pada 16 Januari lepas mendapati Dr Rozmey bersalah atas pertuduhan terlibat dalam penjualan bahan didakwa mampu menurunkan berat badan, membungkus serta menyimpan bahan berkenaan, yang melanggar Seksyen 3.4 kod itu.
Dr Rozmey juga didapati bersalah mengiklan diri sendiri, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi tujuan mempromosi kelebihan sendiri serta membabitkan diri dengan perusahaan komersial yang melanggar Bahagian 4.1 dan 3.4 Kod Etika Profesional.
